August 31, 2010

SALAM MERDEKA ! JANGAN LUPA HARI MALAYSIA 16 SEPT 2010

*SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN KEMERDEKAAN YG KE 53* -perjuangan dan pengisian kemerdekaan RAKYAT MALAYSIA menjadi tonggak kemajuan NEGARA...jadilah RAKYAT yang cintakan kemakmuran dan kesepakatan dalam merealisasikan erti KEMERDEKAAN..

Hasan Ali akan panggil Khusrin

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali akan memanggil Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammad Khusrin Munawi dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian berhubung isu penyertaan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dalam majlis bantuan kewangan kerajan negeri di Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Kajang baru-baru ini.
Dalam sidang akhbar yang diadakan di Bangunan SUK, dekat sini petang tadi, Dr Hasan berkata, usaha itu dilakukan untuk mendapatkan penjelasan mengenai tindakan yang telah diambil oleh Khusrin berhubung perkara itu.
“Dalam pertemuan itu nanti, banyak perkara boleh dikongsi bersama kerana saya telah mendapat banyak input dari kalangan masyarakat termasuk intelektual yang pakar dalam bidang berkaitan yang memerlukan perbincangan lanjut,” jelasnya.
Sebelum itu, Dr Hasan menegaskan perkara itu telah dieksploitasi oleh pihak-pihak yang ingin menangguk di air keruh lantas keadaan ini telah menimbulkan reaksi segera di pihak Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jais.
“Sedangkan Teo memang dijemput sebagai tetamu atas sifat beliau sebagai Ahli Parlimen Serdang di mana beliau dijemput menyampaikan bantuan kewangan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah parlimen itu.
“Beliau telah dijemput masuk ke dewan solat surau untuk menyampaikan bantuan dan seterusnya menyampaikan ucapan ringkas. Ucapan beliau tertumpu kepada usaha-usaha kerajaan negeri dalam membantu pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi,” jelasnya.
Ekoran dari itu, Pengerusi serta Bendahari Surau dan Pembantu Khas Teo dipanggil memberi keterangan di hadapan Pengerusi Mais, Pengarah Jais dan wakil istana lalu keputusan diambil dengan membubarkan jawatankuasa surau dan Mais mengambil alih pentadbiran surau.
Dr Hasan kesal kerana ada akhbar melaporkan kejadian itu dengan begitu berat sebelah antaranya Teo dikatakan menyampaikan ‘tazkirah’ dan dalam majlis itu beliau disebutkan sebagai menyampaikan bantuan kewangan kepada ahli-ahli PAS.
“Berdasarkan rentetan kejadian di atas saya telah mengambil inisiatif berikut antaranya, cuba menasihatkan semua pihak termasuk ahli-ahli politik demi menjaga sensitiviti setiap golongan rakyat mereka dengan memaklumkan rancangan kehadiran mereka kepada pihak-pihak yang berwajib supaya tatacara penggunaan surau dan masjid dapat dipatuhi.
“Saya juga akan mencadangkan supaya digubal peraturan yang lebih detail dengan memperincikan langkah-langkah yang mesti diambil dan tatasusila yang mesti dipelihara bagi mereka yang berhajat menggunakan kemudahan surau dan masjid di Negeri Selangor,” tegasnya.
Menjawab satu pertanyaan tentang desakan Pemuda Umno agar beliau meletakkan jawatan ekoran peristiwa ini, Dr Hasan berseloroh, jika ikut desakan itu, setiap kali bukan Islam masuk masjid, sudah beribu kali beliau terpaksa meletakkan jawatan.
Persoalan di sini, jelasnya, adalah bagaimana peraturan sebenar dan bagaimana pula penguatkuasaannya, tidak timbul masalah Hasan Ali tetapi yang utama, isu ini segera diselesaikan. -harakahdaily

August 30, 2010

MAIS TERBURU-BURU HANTAR SURAT KPD YB NIE YING, MAIS KENA MINTA MAAF !

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Tindakan Majlis Agama Islam Selangor menghantar surat amaran kepada Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching berhubung dakwaan beliau telah mencemar kesucian Surau Al Huda dianggap perbuatan terburu-buru tanpa dilakukan siasatan terlebih dahulu.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata sepatutnya Mais menghantar surat amaran kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu sebelum menghantarnya kepada Nie Ching kerana majlis itu memutuskan orang bukan Islam dibenarkan memasuki masjid atau surau dengan kebenaran.
"(Cadangan) itu merupakan satu tindakan yang terburu-buru dan menunjukkan pihak tersebut tidak menjalankan siasatan yang rapi. Ini juga menunjukkan tindakan Masi ini bertentangan dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.
"Kita berpendirian sama seperti keputusan dalam Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang ke-90, pada 21 Mac 2010, iaitu tidak menjadi kesalahan kepada orang bukan Islam, sama ada lelaki atau pun perempuan untuk masuk ke dalam masjid termasuk ke dewan solat, asalkan mendapatkan kebenaran daripada pihak pengurusan masjid," jelas Mahfuz.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, PAS sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang berikutan laporan oleh akhbar Utusan Malaysia yang menyatakan kehadiran Nie Ching di surau tersebut adalah bagi menyalurkan bantuan kepada ahli parti itu.
"Saya sudah bercakap dengan Pengerusi surau tersebut dan beliau menjelaskan Nie Ching hanya dijemput untuk memberi ucapan ringkas sempena kehadiran beliau untuk menyerahkan bantuan sumbangan bagi membina pagar surau itu. Tidak ada jemputan bagi menyampaikan tazkirah dan tidak ada ucapan berkaitan politik," tambah beliau.
Jelas beliau lagi, selain menyampaikan bantuan, Nie Ching juga menyampaikan maklumat kepada jemaah surau mengenai Skim Bantuan Pembiayaan Pendidikan kepada anak-anak Selangor.
Beliau berkata laporan akhbar tersebut telah memberi persepsi yang buruk kepada PAS dan juga menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor.
"Ini adalah penipuan yang nyata. Apa yang dilaporkan kepada Tuanku Sultan oleh pihak tersebut didalangi oleh kepentingan politk Umno untuk menipu pihak istana. Sekiranya Umno dan Barisan Nasional hendak bersaing dengan Pakatan Rakyat tidak salah, tetapi janganlah melakukan perbuatan yang boleh memburukkan imej agama Islam itu sendiri," tegas Mahfuz.
Beliau menegaskan fitnah itu turut akan mewujudkan persepsi buruk masyarakat bukan Islam terhadap Islam, seolah-olah agama itu bersifat kaku sehingga menghalang orang bukan Islam dengan niat baik untuk berkunjung datang ke masjid atau surau.
"Begitu juga dengan isu doa (di Pulau Pinang). Adakah tidak salah mendoakan kepada orang Islam yang jahat, tetapi salah pula untuk mendoakan orang bukan Islam yang baik?
"Bagaimana pula apabila seorang muallaf yang baru memeluk agama Islam. Tidak bolehkah dia mendoakan keluarganya yang masih belum Islam itu?" soal Mahfuz.
Tindakan Umno-BN yang disokong oleh media arus perdana ini seolah-olah ingin menjauhkan orang bukan Islam dengan agama Islam.
"Jadi saya bercadang kepada Umno, berhentilah daripada membawa mazhab mereka sendiri, tetapi bawalah mazhab-mazhab yang ada di dalam agama Islam," jelasnya.

August 29, 2010

TGNA PERTAHANKAN TEO MASUK SURAU, BUKAN ISLAM BERPAKAIAN SOPAN, ISLAM TUTUP AURAT MASUK SURAU, MESJID..

KOTA BARU, 28 Ogos — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mempertahankan tindakan anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas.
Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.
“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam,” kata Nik Aziz kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan Anggota Parlimen DAP itu yang menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat utama surau terbabit.
Tindakan Teo itu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Majlis Agama Islam Selangor menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.
Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz berkata tindakan itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama sedangkan pada zaman Nabi Muhammad SAW baginda mengajak orang kafir Quraisy tinggal di dalam masjid termasuk dibenar tidur, makan dan minum.
“Cuma apa yang dilihat (benda) itu sebagai pelik di zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama,” katanya.
Nik Abdul Aziz sebelum itu hadir berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 174 penghuni rumah anak yatim Puteri Harapan Taman Sabariah. — Bernama

August 26, 2010

SALAHKAH KHATIB YG MEMBACA DOA KUTBAH JUMAAT....

Dari Merdeka ReviewOleh Nazar Hashim
Khatib yang didakwa terlibat dalam isu doa khutbah Jumaat, Ustaz Zakaria Ahmad, mempertahankan pendirian beliau bahawa tiada kesalahan yang dilakukan semasa doa khutbah tersebut dibacakan bagi mendoakan kesejahteraan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Zakaria Ahmad yang bercakap kepada media selepas menemui panel jawatankuasa Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di pejabat MAINPP semalam, berkata bahawa tidak menjadi satu kesalahan untuk berdoa (kepada orang bukan Islam).
“Cuma caranya sahaja perlu diperbetulkan. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak MAINPP yang telah membantu bagi memberi panduan mengenai keperluan yang ada dalam isu khutbah ini.”
“Namun begitu isu ini hanyalah satu isu kecil. Sebelum ini pun ada orang lain yang membacakan doa dalam khutbah Jumaat kepada pemimpin tetapi kenapa mereka tidak dipanggil?” tanya beliau.
Mungkin ambil tindakan saman malu
Zakaria juga berkata beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman malu kepada mereka yang telah melemparkan fitnah kepada beliau dalam isu ini dalam tempoh terdekat.
Tambah beliau lagi adalah suatu yang dikesalkan kerana isu sekecil ini telah dipolitikkan oleh mereka yang tidak memahami erti sebenar khutbah Jumaat sehingga sanggup menjadikan ia sebagai modal politik sempit mereka.
Manakala Yang Dipertua MAINPP, Ellias Zakaria berkata pertemuan dengan jawatankuasa siasatan MAINPP kali ini bertujuan untuk mendapat penerangan sebenar dari khatib yang terbabit sebelum apa-apa tindakan diambil. Beliau juga berkata perbincangan yang diadakan berjalan dalam suasana yang baik.
Tiada tindakan terhadap khatib Zakaria
“Tiada tindakan yang akan diambil terhadap beliau setelah adanya penerangan sebenar dari insiden yang membabitkan isu doa dalam khutbah Jumaat yang hangat diperkatakan sejak minggu lalu,” jelas Ellias Zakaria.
“Kita juga berharap dalam suasana ramadan ini tiada pihak yang akan mengambil kesempatan isu ini dan mengeruhkan suasana yang ada,” kata Ellias Zakaria (gambar kiri).
Katanya lagi jawatankuasa yang turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, Sazali Hussain dan Pegawai Tadbir Agama Daerah itu turut berpuas hati dengan penerangan yang telah disampaikan oleh Zakaria.
Sebelum itu Zakaria yang tinggal di Taiping, Perak telah disoal-siasat di Balai Polis Butterworth bagi diambil keterangan beliau setelah adanya laporan dibuat oleh Pemuda UMNO Pulau Pinang, baru-baru ini.
Isu doa khutbah Jumaat yang didakwa menyebut nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah disebut oleh Zakaria di Masjid Jamek Kubang Buaya, Butterworth dan Masjid Jamek Padang Menora,Tasek Gelugor.
Dakwaan oleh Ahmad Zahid
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini telah mendakwa terdapat khatib yang mendoakan Lim Guan Eng di beberapa buah masjid dalam kawasan Permatang Pauh, Tasek Gelugor dan Jelutong.
Namun begitu tiada pula nama kawasan Bagan yang dinyatakan sedangkan Masjid Jamek Kubang Buaya berada dalam kawasan Bagan. Begitu juga dengan dakwaan ianya berlaku dalam kawasan Permatang Pauh.
Nama masjid yang didakwa dalam kawasan Permatang Pauh belum dapat dikenal pasti sehingga ke hari ini.
Banyak pihak mempertikaikan tindakan yang diambil oleh UMNO dan Barisan Nasional dalam isu doa khutbah Jumaat ini. Sesetengahnya mendakwa isu ini sengaja dijadikan modal politik oleh UMNO dan BN setelah melihat kewibawaan yang ada pada kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) semakin mendapat dokongan rakyat.
Tindakan yang diambil oleh UMNO dan BN ini bukan saja menambahkan hilangnya keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada mereka, tetapi juga membuka ruang kepada masyarakat khususnya orang Melayu untuk melihat setakat mana isu agama sebegini akan dimanipulasikan sebagai modal politik untuk meraih sokongan.
Sekiranya isu sekecil ini tidak dapat diselesaikan dengan cara musyawarah apakah akan menjadi kenyataan perpaduan dan penyatuan Melayu yang sering menjadi omongan bagi UMNO dan PAS untuk bersatu di bawah satu payung bagi membela nasib masyarakat Melayu dan Islam dalam negara ini

CALUN NAIB PRESIDEN DARI WANITA, FUZIAH SALLEH, RODZIAH JADI CALUN SHAH ALAM, HANIZA CALUN PJU, ELI WONG CALUN PJS.....

Wanita PKR sepakat untuk mencalonkan pengarah pilihan raya parti itu, Fuziah Salleh (kanan) untuk bertanding jawatan naib presiden.

Fuziah (kanak) merupakan ahli parlimen Kuantan dan juga bekas ketua Wanita PKR.

Enam lagi pemimpin Wanita akan bertanding merebut jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Mereka ialah Elizabeth Wong, Felicia Ling, Hasnah Hashim, Salma Ismail, Siti Aishah Shaik Ismail dan Rozaini Mohd Rosli.

Perkara itu diumumkan oleh ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dalam satu sidang akhbar di ibupejabat PKR di Petaling Jaya pagi ini.

Manakala Zuraida yang juga ahli parlimen Ampang akan mempertahankan jawatannya.

Begitu juga dengan timbalannya, Rodziah Ismail dan dua lagi naib ketua - Hazina Talha dan Noorsham Abu Samah.
Dalam sidang akhbar tersebut Zuraida juga memberitahu bahawa 38 pemimpin Wanita, termasuk Nurul Izzah Anwar akan bertanding merebut jawatan tertinggi di peringkat cabang.
Anak sulung ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan bertanding merebut jawatan ketua cabang Lembah Pantai.
Manakala ibunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismal yang juga presiden PKR, akan bertanding jawatan ketua cabang Permatang Pauh.
Menurut Zuraida lagi, 10 orang wanita akan bertanding jawatan ketua cabang, manakala 28 lagi akan bertanding jawatan timbalan dan naib ketua cabang.

Sementara itu, Fuziah berkata beliau yakin berpeluang untuk memenangi salah satu daripada empat jawatan naib presiden yang dipertandingkan.

"Semua orang bertanding untuk menang. Saya yakin dengan segala keutamaan kepada parti, saya yakin (menang) kerana anggota kenal dan tahu khdmat saya," katanya.
Dalam sidang akhbar yang sama, Rodziah mengumumkan beliau dan Zuraidah akan mempertahankan jawatan masing-masing.

Manakala Haniza Talha dan Noorsham akan mempertahankan jawatan naib ketua Wanita PKR.

"Ini memberi mesej kepada anggota dan parti bahawa wanita adalah komited untuk memenuhi kuota 30 peratus.

"Kita sudah bersedia. Ini adalah permulaan," kata Rodziah.
Sementara, Zuraida berkata Dr Zaliha Mustaffa tidak mempertahankan jawatan naib ketua Wanita kerana memberi tumpuan bertanding jawatan ketua cabang Gelang Patah (Johor).

"Kita akan calonkan Gan Pei Nei (ADUN Rawang) sebagai naib ketua wanita," katanya.
Menurutnya lagi, dua exco kerajaan Selangor - Rodziah dan Elizabeth - juga masing-masing akan bertanding jawatan ketua cabang Shah Alam dan Petaling Jaya Utara.

Manakala Fuziah dan Haniza yang juga timbalan Speaker DUN Selangor, masing-masing akan bertanding jawatan ketua cabang Petaling Jaya Selatan dan Kuantan.

Ditanya sama ada akan berlaku cabaran bagi jawatan utama Wanita PKR, Zuraidah berkata: "Kita jangkakan beberapa nama... Kita mengambil sikap untuk membuat rundingan yang matang supaya Wanita menjadi kukuh dan mantap."

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE 53 DI BULAN AL MUBARAK, AYUH PASANG BENDERA KEBANGSAAN KITA !

August 25, 2010

Salam 1Msia adalah doa utk bukan islam....

Sumber dari Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang 'dikecohkan' sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salah faham dapat dielakkan.

Apabila seorang tokoh Umno yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya "malu") dengan fatwa Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan Muslim, saya jawab, saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut.

SMS beliau kepada saya: "Apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?"

Setelah mendapat SMS itu saya cuba mencari kenyataan Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain, di luar apa yang saya faham.

Perkataan "sejahtera" itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut:

Setiap orang yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah sentiasa adil dengan pandangannya. Tidak boleh berpihak untuk kepentingan pembangkang ataupun kerajaan. Saya tujukan nasihat ini kepada mereka yang daif seperti saya ini agar berusaha mendisiplinkan diri dalam pandangan ilmu.

Harussani bukan lemah seperti saya

Adapun Tan Sri Harussani, Mufti Perak sudah pasti seorang yang teguh - bukan lemah seperti saya - dan saya doakan agar keteguhan itu menjadi contoh insan yang berdisiplin dalam ilmu.
Pandangan agama yang membabitkan hal bukan Muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam.
Kita memberitahu dunia "Islam adalah agama yang rahmat". Pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu.

Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan, terutama di media-media kerajaan, "assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam".

Walaupun Nabi SAW - seperti riwayat al-Bukhari - dalam praktik baginda, jika ada bukan Muslim bersama dengan Muslim, baginda hanya mengucapkan "assalamualaikum" sahaja. Perkataan "assalamualaikum" itu memang bermaksud "kesejahteraan ke atas kamu".

Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan "salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam". Tidakkah "salam sejahtera kepada bukan beragama Islam" itu satu doa untuk mereka?

Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru "Salam 1Malaysia" juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan Muslim. Mengapa tidak diharamkan? Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: Janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa.

Nabi jampi orang gila bukan Muslim
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan Muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas.

Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan.

Kata Abdullah bin Mas'ud: "Aku seakan masih melihat Rasulullah SAW menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi AS yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: "Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.

Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi SAW pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan Muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing.

Nabi SAW bersabda kepada sahabat tersebut: "Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar".

Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan Muslim.

Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan Muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan Muslim yang bermusuh dengan Islam.

Permainan politik

Firman Allah, maksudnya: "Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim". (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).

Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu Muslim atau bukan Muslim.

Firman Allah: "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan" (Surah Hud: 113).

Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik.

Sebab itu 'Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama: "Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil" (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.

Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredaan sesuatu pihak semata-mata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan Muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau perincian.

Cina rajin dan kaya

Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak peranda? Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman?

Jika seorang pemimpin Muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan di kalangan mereka?

Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan Muslim menerima Islam ini. Orang Cina khususnya, mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh.

Jika Nabi SAW pernah berdoa: "Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau 'Umar bin Al-Khattab". (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi).

Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam.

Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apapun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas dari belenggu kepentingan mana-mana pihak. Ini adalah pandangan saya.

August 24, 2010

SULTAN SELANGOR SAMPAIKAN SUMBANGAN DI KUALA KUBU BHARU

HULU SELANGOR, 23 Ogos – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada anak yatim, fakir miskin dan saudara baru sebelum berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Baharu di sini. Seramai 98 anak yatim, 200 fakir miskin dan 92 saudara baru menerima sumbangan tersebut. Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha kerajaan negeri Datuk Ramli Mahmud, anggota exco Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi, pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Datuk Mohd Azib Isa dan Mufti Selangor Datuk Mohamad Tamyes Abd Wahid. Baginda yang diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, kemudian menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Terawih.- BERNAMA

August 23, 2010

Majlis Berbuka Puasa bersama YMM Sultan Selangor hari ini!

MAJLIS BERBUKA PUASA (IHYA' RAMADHAN) DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR BERSAMA RAKYAT 1431H/2010M:-
TARIKH : 23 Ogos 2010 (Isnin)
MASA : 5.00 Petang - 11.00 Malam
TEMPAT : Masjid Jamek Ar Rahimah Kuala Kubu Bharu

August 18, 2010

Jika lepasi Tol Bkt beruntung, singgah lah utk bubur lambuk dan bendera Msia...esok 5 ptg 19 Ogos 2010

Pada 19 Ogos 2010 ( Khamis ) jam 5.00 petang bertempat di Plaza Tol Bukit Beruntung akan diadakan program sumbangan bubur lambuk dan pemberian bendera Malaysia serta pelekat kereta untuk orang awam yang melalui tol tersebut.

Lebih ramai peneroka Felda meninggalkan Felda

Sedang berlaku di mana-mana rancangan Felda fenomena peneroka-peneroka meninggalkan felda dalam pengurusan ladang masing-masing.
Peneroka-peneroka menjadi takut ladang mereka akan terlepas menjadi hakmilik Felda jika urusan ladang mereka terus dikendalikan oleh Felda.
Seseorang peneroka yang ladang mereka diuruskan oleh Felda dibebankan dengan hutang yang sangat tinggi dan Felda pula tidak pernah menghantar penyata hutang bulanan kepada peneroka-peneroka.
Jika seseorang itu berhutang dengan bank sudah pasti menerima penyata akaun setiap bulan, tapi Felda tidak mempunyai amalan seumpama itu maka setelah beberapa tahun ladang mereka diuruskan oleh 0felda atau anak syarikat Felda peneroka diberitahu tanpa detail bahawa hutang mereka sudah mencecah RM60,000.00 dan jika peneroka itu juga mengambil pinjaman perumahan dari Felda maka di umur peneroka itu sudah melebihi 6d tahun ia berhutang dengan Felda sebanyak RM100,000.00.
Tanah ladang peneroka-peneroka itu dikaveat oleh Felda menandakan bahawa Felda ada kepentingan keatas tanah yang dimiliki peneroka-peneroka itu sebagai satu jaminan bahawa jika peneroka-peneroka itu gagal menjelaskan mereka maka Felda berhak keatas tanah ladang mereka.
Jika peneroka itu meninggal dunia maka waris si mati itu akan mewarisi hutang yang begitu besar dan jika si waris itu tidak mampu atau tidak mahu mewarisi hutang sebegitu besar maka Felda berhak keatas ladang peneroka itu, maka tamatla riwaayat kehidupan seseorang peneroka Felda yang berhempas pulas menjayakan tanah ladang mereka yang akhirnya menjadi hakmilik Felda.
Majoriti peneroka-peneroka mahukan ladang mereka berjaya dan mahu ladang mereka diwarisi oleh waris mereka dan Felda bukanlah waris bagi mereka.
Peneroka-peneroka yang sedar tidak mahu menanggung risiko ladang mereka akhirnya dipindahmilik kepada Felda atau nominee Felda.
Golongan sedar ini tidak menyerahkan ladang mereka untuk diusahakan oleh Felda. Mereka bersusah payah menanam sendiri dengan terpaksa mencari benih sendiri, membersih dan membaja. Felda memboikot golongan sedar ini dengan tidak menghulurkan sebarang kerjasama. Bahkan Felda enggan menandatangan sebarang borang untuk penroka itu termasuk borang untuk perkahwinan anak-anak mereka.
Membanting tulanglah peneroka-peneroka sedar itu. Diperingkat awal mereka dihinakan oleh rakan-rakan mereka yang menyerahkan ladang kepada Felda, mereka dianggap bodoh kerana terpaksa bekerja keras diladang sedangkan peneroka yang bersama Felda hanya goyang kaki dan cukup bulan menerima dari Felda ekaun sara hidup.
Peneroka yang tidak bersama Felda itu akhirnya menjadi peneroka yang berjaya. Semasa harga sawit tinggi seperti sebelum PRu-12 dulu, ada diantara mereka memnperolehi hingga RM15,000.00 setiap kali hantaran. Berbaloilah usaha mereka.
Di waktu harga sawit menurun dan buah juga melawas, mereka masih dapat mengekalkan pendapatan paling minima RM3,000.00 sebulan. Kini harga sawit sedang naik dan Alhamdulillah, mereka akan memperolehi pendapatan yang lebih tinggi.
Felda mengenakan pelbagai tekanan terhadap peneroka-peneroka persendirian ini, seumpamanya, tidak mengembalikan sepenuhnya dana tanam semula sejumlah RM17,000.00 yang dicarumkan oleh peneroka itu sendiri. Namun untuk kekal bebas dari cengkaman, segala dugaan itu dilalui oleh merea.
Peneroka-peneroka itu berjaya mengatasi masalah kewangan mereka dengan sistem penanaman secara "menyelat". Mereka menanam anak sawit di celah-celah pokok sawit yang tua. Mereka bunuh pokok-pokok sawit yang tua peringkat demi peringkat dan membunuh keseluruhan pokok apabila anak-anak sawit yang baru ditanam itu mula mengeluarkan buah.
Dengan sistem itu, peneroka-peneroka itu masih mempunyai pendapata dari pokok-pokok tua sehinggalah mereka mempnyai pendapata daripada pokok-pokok muda, dan dengan cara itu juga merekaa berjaya mengatasi kekangan kewangan dan membantutkan usaha daeri Felda untuk menggagalkan usaha mereka.
Dan mereka menjadi lebih seronok kerana pendapata mereka adalah jauh lebih tinggi dari peneroika-peneroka yang bersama felda.
Penderitaan peneroka-peneroka yang bersama Felda tidak terhentiu disitu sahaja. Sudaalah hutang mereka besar, mereka tidak mempunyai apa-apa pendapatan kecuali elaun sara hidup yang dikira pinjaman dari Felda, maka persoalannya, apakah mereka tidak mempunyai apa-apa pendapatan dari 10 ekar ladang mereka.
Lebih dari 95 peratus peneroka-peneroka Felda adalah orang Melayu, inikah dasar Kerajaan memebela orang Melayu dengan mengenakan 112,000 orang-orang Melayu dirancangan Felda dengan bebanan hutang masing-masing melampaui RM100,000.00.
Kesedaran baru kini sudah timbul, peneroka-peneroka yang kini bersama Felda juga ingin membebaskan diri mereka dari cengkaman hutang yang bertimbun, mereka mulai mengambil tindakan keluar dari Felda dan menguruskan ladang mereka sendiri. Walaupun terlambat mereka mengambil tindakan cegah sebekum parah!

by Suhaimi Said

Apa yang tidak kena ...banjir melimpahi Pakistan !

August 13, 2010

JIKA MENANG PRU 13, PAKATAN RAKYAT BAGI WIFI PERCUMA....

DAP hari ini mengumumkan bahawa parti itu akan memberikan beberapa habuan sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan yang baru pada pilihan raya umum akan datang.
Pada sidang media yang pasti menimbulkan kontroversi, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata mereka akan membuat bayaran RM1,000 dalam bentuk tunai kepada semua warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.
Katanya, jika menguasai Putrajaya, kerajaan Pakatan Rakyat juga akan menghapuskan amalan saman ekor yang menyenarai-hitamkan pemilik kenderaan daripada memperbaharui cukai jalan mereka.
"Kami juga akan membekalkan wifi percuma di seluruh Malaysia,” kata Lim yang juga adalah Ketua Menteri Pulau Pinang

August 12, 2010

KAMERA TERSEMBUNYI DI PEJABAT MENTERI BESAR SGR...

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau menjumpai sebuah kamera tersembunyi di pejabatnya di tingkat 21, bangunan SUK di Shah Alam, pada jam 6 petang semalam.
Beliau memberitahu perkara itu kepada wartawan pada sidang media hari ini dan berkata pihaknya selepas menjalankan siasatannya sendiri. Tambahnya, beliau juga sedang mempertimbangkan bagi membuat laporan polis.
Abdul Khalid berkata kamera itu yang dijumpai berada di belakang langsir di pejabatnya dikesan selepas ia berbunyi kerana kadar baterinya semakin lemah.
Serentak dengan penemuan itu, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri juga mengarahkan supaya kawalan keselamatan di bangunan SUK itu diperketatkan

August 09, 2010

Meriah...Mini Karnival Wanita Prihatin Bkt Beruntung 8 Ogos 2010 Ahad

Penyelaras Dun Batang Kali, Nashruddin Abd Aziz bersama
pasukan yang menjadi Johan Tarik Tali Wanita Perkasa
Sdr Boon Lai, Penyelaras Dub Kuala Kubu Bharu bersama
Penyelaras Dun Batang Kali, Sdr Nashruddin dan Bubu The Clown...
Artis Shidee bersama pemenang cabutan bertuah..
Meriah..itu gambaran yang dapat diberikan kepada program anjuran Pusat Khidmat Rakyat Dun Batang Kali pada 8 Ogos 2010 hari Ahad (7pg sehingga 6 ptg).. Pelbagai acara diadakan termasuk pertandingan tariktali wanita perkasa, sukaneka sahabat, persembahan teater SEDAR, persembahan nyanyian dari kumpulan nasyid, artis shidee dan gerai2 jualan oleh usahawan wanita... Turut bersama membuka kaunter-kaunter adalah dari kumpulan Adabi, Perodua, Majlis Daerah hulu Selangor, Pusat Kesihatan Serendah, Kaunter SPR, dan gerai-gerai RX-Water, MyStar dan lain-lain.
Tuan Boon Lai, penyelaras Dun Kuala Kubu Bharu telah mewakili Exco Angkat Dun Batang Kali, Tuan Ean Yong Hian Wah, turut hadir adalah Penyelaras Dun Btg Kali, Nashruddin Abd Aziz, Ahli-ahli majlis Zon Bkt Beruntung, Sdr Hamyruddin dan Pn Kameliah Been.

August 04, 2010

MINI KARNIVAL WANITA PRIHATIN BUKIT BERUNTUNG 2010


DATANG BERAMAI-RAMAI
KE MINI KARNIVAL WANITA PRIHATIN
PELBAGAI ACARA DISEDIAKAN UNTUK ANDA SEMUA !

TARIKH : 8 OGOS 2010 (AHAD - 7 PAGI - 6 PTG)
TEMPAT : PADANG AWAM MAWAR, TAMAN BUNGA RAYA, BKT BERUNTUNG

7 PG - ACARA AEROBIK
10 PG - SUKANEKA
2 PTG - PERADUAN MEWARNA, PERSEMBAHAN BADUT
4 PTG - PERSEMBAHAN PENTAS - SHIDEE, NASYID
GERAI-GERAI JUALAN DISEDIAKAN, RAWATAN KESIHATAN PERCUMA DAN PAMERAN PDRM, PENDAFTARAN PENGUNDI TURUT MEMERIAHKAN MINI KARNIVAL INI!

TEMBAKAN DARI DALAM KERETA !

KUALA LUMPUR, 3 Ogos — Polis tidak menolak kemungkinan kematian bekas wakil rakyat Selangor Datuk Abdul Aziz Mohd Noh bersama Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjung Karang Siti Rohana Ismat di sini pagi ini akibat tembakan daripada salah seorang mangsa itu sendiri. Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata berdasarkan siasatan awal, tembakan dilepaskan dari dalam kereta dan tidak melibatkan orang lain.
Katanya, polis juga menemui sepucuk pistol jenis revolver .38 di dalam kereta tersebut yang mengandungi dua peluru hidup dipercayai kepunyaan Abdul Aziz.
Khalid berkata hasil bedah siasat di Hospital Sungai Buloh menunjukkan terdapat dua kesan tembakan pada kepala Siti Rohana dan satu tembakan di kepala Abdul Aziz.
Ketika dihubungi Bernama, Khalid berkata kereta jenis Toyota Caldina berwarna putih itu dimiliki oleh Siti Rohana dan waktu kejadian ia dipandu oleh Abdul Aziz.
Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Permatang yang berusia 64 tahun itu ditemui mati bersama Siti Rohana, 43, kedua-duanya dengan kesan tembakan, dalam kereta yang terbabas di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh dekat sini kira-kira 11 pagi.
Kereta tersebut terbabas dari bahagian kiri ke bahagian kanan jalan.
Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh.
Abdul Aziz, menjadi wakil rakyat dari 2004 hingga 2008 dan pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar pada 1997.
Siti Rohana aktif dalam politik dan pernah menjadi pegawai peribadi kepada Abdul Aziz, dan mempunyai sebuah butik pengantin di Tanjong Karang.

August 02, 2010

POLIS BERTINDAK MENAHAN 29 ORANG DLM UPACARA LILIN ANTI-ISA

Polis telah bertindak menyurai serta menghalang para aktivis daripada mengadakan upacara memasang lilin di beberapa tempat di seluruh negara bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini berusia 50 tahun.
Menurut laporan yang diperolehi, beberapa anggota polis diletakkan di beberapa tempat bagi menghalang upacara memasang lilin itu diadakan.
Di Dataran MBPJ, Padang Timur di Petaling Jaya - di mana upacara memasang lilin bermulajam 8 malam - anggota polis bertindak menyuraikan kira-kira 200 yang hadir sambil menyanyikan lagu Negaraku.
Anggota polis kelihatan mengejar beberapa peserta upacara tersebut dari kawasan Dataran, di tengah-tengah laungan "Hidup, hidup! Hidup rakyat!” manakala anggota polis yang lain, membentuk barisan bagi menghalang orang ramai masuk ke kawasan dataran tersebut
Di Ipoh, anggota polis bertindak menutup Dataran Majlis Bandaraya Ipoh dan melarang orang ramai memasuki kawasan tersebut. Upacara memasang lilin di situ dijadual bermula jam 9 malam.
Di Pulau Pinang pula, anggota polis sebelum ini telah menampak notis - yang ditandatangani oleh OCPD George Town, Penolong Pesuruhjaya Gan Kong Meng - di sekitar Sudut Pidato di Georgetown, melarang sebarang perhimpunan haram diadakan di kawasan itu